topiari2

RAHSIATAMAN
                                                                                                                                                                                                                                                                        Selamat Datang Ke Laman Web Rahsia Taman................ Laman Sejarah.............Teks ucapan 2002....                                                                                                                                            

 CARIAN

LOGIN

PASWORD

ANJUNG

PENGENALAN

PRODUK

BLOG

TIP TERKINI

E-MAIL

HUBUNGAN

- Taman

- Guru

- Pelajar

- Peribadi

 

PERMAINAN

BERITA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rahsia Taman

TEKS UCAPAN

HARI LANDSKAP NEGARA 2002

PENYAMPAI
:
MENTERI KATEGORI : UCAPAN ALUAN
TARIKH
:
02-Mar-2002 HARI : Sabtu
MAJLIS
:
MAJLIS SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA 2002
TEMPAT
:
KUALA LUMPUR CITY CENTRE (KLCC)


TEKS UCAPAN PENUH :
 

Dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan,

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada sokongan padu yang diberikan oleh YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang kita sanjungi, kerana sudi hadir dan merasmikan Hari Landskap Negara pada hari ini. Seterusnya, saya juga ingin mengucapkan selamat datang kepada tuan-tuan dan puan-puan ke majlis sambutan Hari Landskap Negara 2002.

Dato’-dato, tuan-tuan dan puan-puan,

Bermula daripada 3 Mac tahun 1997, rakyat Malaysia berbangga untuk berkumpul dan bersama-sama menyambut Hari Landskap Negara. Sesungguhnya, perhimpunan kita pada hari ini adalah petanda kepada kejayaan dan sokongan padu rakyat Malaysia di dalam usaha menjadikan Malaysia Negara Taman seperti yang dihasratkan oleh Yang Amat Berbormat Perdana Menteri.

Meninjau kembali perkembangan landskap di Malaysia merupakan suatu sejarah yang indah, seindah negara kita Malaysia yang kaya dengan keindahan dan keunikan alam semulajadi. Menyedari kepekaan terhadap keperluan keseimbangan di antara pembangunan pesat sains dan teknologi di dalam arus pembangunan negara dengan pengekalan dan pemuliharaan alam semulajadi, maka kerajaan telah menubuhkan Jabatan Landskap Negara pada tahun 1996, yang bertujuan untuk menyelaras program landskap di seluruh negara. Semenjak daripada penubuhannya sehingga kini, Jabatan Landskap Negara dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan telah berjaya membuka perspepsi baru di dalam pemahaman masyarakat terhadap kepentingan landskap. Ini dapat kita lihat melalui peningkatan kesedaran dan sokongan masyarakat di dalam program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan di dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang indah bergelar Negara Taman menjelang tahun 2005.

Pada permulaan abad baru contohnya, dengan sokongan dan peningkatan keperihatinan rakyat Malaysia, Malaysia telah mencatat nama di dalam buku ‘Guinness World Records” kerana berjaya menanam 110,461 batang pokok di dalam tempoh satu minit. Kejayaan Program “Millenium Planting” ini merupakan pengiktirafan dunia terhadap komitmen Malaysia di dalam memelihara alam semulajadi demi kemakmuran manusia sejagat. Program–program Jabatan Landskap Negara yang lain seperti pembinaan taman awam baru, menaik taraf taman awam sedia ada dan penghijauan turut menyumbang terhadap peningkatan kesedaran terhadap perlunya wujud suatu kawasan rekreasi yang terancang di dalam memenuhi kehendak sosial masyarakat.

Peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan dan keindahan landskap ini juga turut mengubah cara dan gaya hidup masyarakat Malaysia kini, di mana melalui Pertandingan Landskap yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Landskap Negara didapati telah berjaya menukar wajah Malaysia seperti taman yang sedang berkembang bertepatan dengan tema Hari Landskap pada hari ini iaitu “Negara Indah Rakyat Sejahtera”.

Dato’-dato, tuan-tuan dan puan-puan,

“Negara Indah Rakyat Sejahtera” adalah tema sambutan Hari Landskap Negara pada tahun ini. Ini bertepatan dengan senario pembangunan negara kita pada hari ini. Pembangunan pesat negara kita Malaysia di dalam menuju era kecanggihan teknologi dan kemodenan pembangunan tidak akan dianggap lengkap atau sempurna jika tidak diiringi dengan keindahan persekitaran yang dapat memastikan kesejahteraan hidup penduduk. Negara indah bukan hanya bermaksud keindahan ataupun kecantikan estatika sahaja tetapi ianya bermaksud keindahan keseluruhan iaitu daripada pelbagai aspek, bermula daripada nilai estatika kepada fungsinya. Dengan perancangan landskap yang teratur dan sempurna, keindahan negara kita akan lebih terserlah. Seperti yang kita telah sedia maklum, keindahan negara kita Malaysia adalah merangkumi pelbagai aspek pemandangan rupa bumi yang saling berkaitan dan berharmoni di antara keindahan alam semulajadi dengan warisan sejarah senibina atau kemodenan rekabentuk senibinanya. Untuk memastikan keindahan ini terpelihara dan sentiasa dikekalkan, perancangan dan penyelenggaraan yang teratur perlu disediakan sebagai suatu program pemantauan yang berterusan. Berdasarkan kepada kesedaran bahawa penduduk di sesuatu tempat lingkungan pembangunan atau komuniti tersebut adalah pemantau yang terbaik maka Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melancarkan suatu kempen kesedaran komuniti iaitu Program “Negara Taman Mekar” atau “Garden Nation In Bloom”.

Program “Negara Taman Mekar” adalah suatu langkah awal untuk memastikan bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia Negara Taman menjelang tahun 2005 terlaksana. “Malaysia Negara Taman” adalah suatu matlamat yang besar. Hasrat untuk melihat Malaysia setanding dengan negara indah lain di dunia yang kaya dengan keindahan landskap sebagai aset utama pelancongan dan menjadi satu identiti negara, seperti Switzerland yang terkenal dengan pusat pelancongan pergunungannya. Namun pihak Jabatan Landskap Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan amnya akur bahawa matlamat Malaysia Negara Taman tidak akan tercapai sekiranya segala program yang diatur dan rancangkan ini tidak mendapat sokongan daripada semua rakyat. Sokongan di sini bukan sahaja bermaksud sokongan dengan melibatkan diri dengan segala aktiviti yang di rancang tetapi lebih kepada kesedaran dan tanggungjawab setiap individu di dalam mengubah persepsi landskap negara.

Dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan,

Program Negara Taman Mekar adalah suatu program komuniti. Seiring dengan hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan suatu persekitaran hidup yang selamat dan selesa kepada rakyat Malaysia, dan unjuran daripada program kesedaran lain yang telah dianjurkan seperti Hari Habitat dan Kempen Kitar Semula. Program Negara Taman Mekar ini memerlukan sokongan sepenuhnya daripada seluruh warga Malaysia untuk melahirkan suatu persekitaran hidup komuniti yang terbaik. Saya percaya bahawa jika setiap individu sedar terhadap peranannya di dalam membentuk komuniti dan terlibat di dalam merancang dan membangunkan kawasan persekitaran, kempen ini akan melahirkan suatu masyarakat yang mempunyai semangat “kepunyaan dan kerjasama “ yang tinggi. Ini telah terbukti dengan kejayaan program komuniti yang telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Landskap Negara sebelum ini. Didapati bahawa projek komuniti yang melibatkan masyarakat ataupun penduduk setempat di dalam merancang dan terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam pembangunan projek landskap akan mewujudkan suatu komuniti yang peka terhadap tanggungjawabnya di dalam memelihara dan menghidupkan taman komuniti dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan,

Kejayaan projek komuniti di dalam memperkembangkan dan pengkayaan warisan landskap dan membentuk kesempurnaan di dalam perancangan rekabentuk landskap bukan sahaja akan mengubah imej sesebuah bandaraya atau negeri tetapi juga terbukti amat diperlukan di dalam pembangunan sesebuah masyarakat yang sihat, bukan saja secara fizikal tetapi juga mental. Sesungguhnya kejayaan perancangan projek komuniti adalah suatu langkah awal di dalam pembentukan landskap bandar dan seterusnya merealisasikan pembentukan Malaysia Negara Taman menjelang tahun 2005. Inilah matlamat dan hasrat kerajaan. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia bersamalah berganding bahu dan berikan sokongan padu untuk menjayakan Program Negara Taman Mekar.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada semua pemenang Pertandingan Landskap Kebangsaan 2001. Diharap usaha tuan-tuan dan puan-puan semua akan sentiasa diteruskan dan dipertingkatkan untuk memastikan keindahan terpelihara dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan status landskap negara agar ianya sentiasa mekar seperti mekarnya negara taman yang kita semua impikan.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua kerajaan negeri yang telah memberi sokongan padu kepada kerajaan di dalam menjayakan sambutan Hari Landskap Negara. Untuk makluman semua hadirin sekelian, mulai tahun ini, pihak kerajaan negeri telah bersetuju dan berjanji untuk mengadakan sambutan Hari Landskap di peringkat negeri.

Saya amat berharap dengan sokongan padu kerajaan negeri dan peningkatan kesedaran masyarakat, Program Negara Taman Mekar akan berjalan dengan jayanya dan hasrat kerajaan untuk membentuk Negara Taman tercapai.

Sekian. Terima kasih.
 

 


 
      2008 Hak Cipta terpelihara rahsiataman.com         Paparan terbaik dlm Internet explorer   (640x480)       Kemaskini          05/09/2008 12:07:03 AM