| |
Terlebih dahulu saya ingin
mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Landskap
Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis Pelancaran
Sambutan Hari Landskap Negara 2003 pada hari ini.
2. Saya merasa gembira
kerana 3 Mac setiap tahun kita terus dapat mengadakan
sambutan Hari Landskap Negara. Hari Landskap Negara
adalah amat bermakna untuk kita semua. Ia bukan sahaja
bertujuan untuk mencapai Wawasan Kerajaan menjadikan
Malaysia Negara Taman menjelang tahun 2005 tetapi
sebagai langkah awal ke arah menjadi "a fully developed
Garden Nation" atau Negara Taman yang Maju dan
berteknologi tinggi menjelang tahun 2020. Impian ini
memang boleh kita capai. Yang perlu ialah komitmen,
kegigihan, kerjasama dan kemahuan semua pihak, baik
perancang, pelaksana atau pengguna.
3. Pembangunan yang pesat
hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan
telah membawa perubahan ketara terhadap alam sekitar
negara, terutamanya persekitaran yang berdekatan dengan
kawasan perbandaran. Perubahan ini berlaku begitu cepat
kesan hasil pertumbuhan ekonomi yang pesat dan
menggalakkan. Perubahan ketara ini berlaku ke atas alam
sekitar negara. Kawasan hutan telah menjadi kawasan
pembangunan. Dalam merancang pembangunan yang kita perlu
pastikan ialah pembangunan itu dilaksanakan dengan
menyeluruh (holistic), mapan dan terancang. Tujuannya
ialah untuk meningkatkan kualiti hidup dan pencapaian
pembangunan mapan tanpa memudaratkan keupayaan generasi
akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Dalam
hubungan ini, kesedaran untuk memelihara alam sekitar
melalui cara penglandskapan yang profesional dan
sistematik di dalam segala rancangan pembangunan negara
perlulah diutamakan.
4. Yang menyedihkan masih
ada pihak yang mengabaikan aspek yang saya sebutkan
tadi. Ketiadaan keseimbangan antara pembangunan dengan
perancangan gunatanah dan penglandskapan untuk kawasan
yang lebih sensitif terus berlaku. Kegiatan menebang
pokok-pokok, penolakan tanah di kawasan yang
berbukit-bukau serta menarah tanah tebing bukit masih
berjalan dengan nyata dan ketara. Kawasan bukit yang
dulu indah dan hijau, kini sudah hilang dari pandangan
kehijauannya. Akibat kerakusan itu maka berlaku bencana
seperti banjir kilat, pencemaran air, udara dan tanah,
hakisan tanah dan runtuhan serta kemerosotan kesuburan
tanah.
5. Tindakan yang tidak
bertanggungjawab ini telah mengakibatkan impak negatif
terhadap kualiti persekitaran. Kita tidak boleh
mengorbankan semua ini semata-mata atas nama
pembangunan. Saya tidak dapat menerima alasan ini.
Pembangunan tidak seharusnya disertai dengan pemusnahan
pokok dan kawasan semulajadi secara menyeluruh. Dengan
kemajuan teknologi dan kepakaran yang ada, kita boleh
mengelakkan pemusnahan kawasan semulajadi ini. Yang
demikian saya menyeru semua pihak yang berkenaan
terutamanya pihak pemaju perumahan supaya mengamalkan
sikap yang lebih bertanggungjawab dalam menjalankan
kerja-kerja mereka. Saya juga menyeru agar pihak
berkuasa tempatan mengambil langkah yang berkesan
mengawal aktiviti-aktiviti seperti ini tidak diulangi
pada masa akan datang. Undang- undang yang sedia ada
sudah mencukupi untuk mendakwa mereka yang ingkar
mematuhi peraturan di mahkamah dan tiada sebab ia harus
di lambat-lambatkan kerana perbuatan ini dilakukan
secara jelas.
6. Sejak Deklarasi
Langkawi 1989 dan Deklarasi Kuala Lumpur 1992 berkenaan
Alam Sekitar dan Pembangunan, Kerajaan telah memberi
penekanan tentang kepentingan penghijauan bukan saja di
negara kita tetapi juga dunia. Malaysia berpegang kepada
pernyataan prinsip bagi hutan dalam Agenda 21 yang
dipersetujui di Persidangan Antarabangsa Alam Sekitar di
Rio de Janeiro dalam tahun 1992. Dalam pernyataan itu
semua negara perlu mengambil bahagian dalam penghijauan
dunia melalui penanaman pokok dan pemeliharaan pokok.
Sebarang kerja penanaman pokok bukanlah untuk diri atau
persekitaran negara tetapi ia turut menyumbang kepada
peningkatan kualiti alam sekitar dunia, seperti cuaca,
pengudaraan, sumber-sumber air, kepelbagaian biologi
(flora dan fauna) dan pengeluaran makanan.
7. Bagi negara kita, kita
telah mematuhi pernyataan tersebut. Kita telah banyak
menanam pokok melalui Kempen Menanam Pokok sejak tahun
1997. Dalam tahun 2001 melalui Kempen "Millennium Tree
Planting" kita telah menanam sebanyak 110,461 dalam masa
satu minit dan rekod ini telah mencapai tahap Guinness
World Record. Ini dengan jelasnya menunjukkan komitmen
kerajaan dan seluruh rakyat terhadap pemeliharaan dan
pemuliharaan persekitaran untuk mencapai tahap kualiti
hidup menyeluruh bukan sahaja untuk negara bahkan untuk
dunia.
8. Saya juga merasa bangga
dengan perlaksanaan program kempen penanaman pokok yang
dianjurkan oleh Jabatan Landskap Negara, Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mensasarkan
penanaman pokok sejumlah 6.5 juta pada tahun 2005 dan 20
juta pokok pada tahun 2020.Saya mengucapkan terima kasih
kepada semua Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan
yang telah memberikan kerjasama padu dalam menjayakan
program ini. Walau bagaimanapun saya merasakan masih ada
ruang untuk semua Kerajaan Negeri mempertingkatkan lagi
usaha menanam pokok di negeri masing-masing supaya
sasaran 20 juta pokok dapat dicapai.
9. Selain daripada sasaran
kuantiti, Kerajaan juga peka dengan kualiti landskap
yang dihasilkan. Seperti yang kita ketahui Malaysia
mempunyai banyak pokok-pokok yang cantik dan menarik
sama ada daripada bunga, daun atau batang. Sehubungan
dengan itu, Kerajaan telah mengarahkan semua Kerajaan
Negeri supaya menanam tidak kurang daripada 30% daripada
jumlah pokok-pokok yang ditanam dengan pokok yang
mengeluarkan bunga yang berwarna atau daun yang bertukar
warna. Kita mahu meningkatkan kualiti landskap kita
supaya kelihatan lebih cantik dan ceria dan ini akan
memberi impak yang kuat kepada pelancong negara luar.
Baru-baru ini Kerajaan juga memutuskan agar setiap
Bandar diadakan satu jalan yang di landskap dengan
cantik seperti Bintang Walk di Kuala Lumpur, Hang Tuah
Mall di Melaka dan Batu Pahat Walk di Johor, di mana
ruang legar di landskap dengan indah dan pokok-pokok
dihias dengan lampu-lampu supaya ia menjadi tempat
tumpuan pelancongan.
10. Kerajaan sedar
pembangunan landskap dan taman awam mempunyai peranan di
dalam pembangunan sosial Negara. Dalam program PINTAS
(Pelan Tindakan Sosial Negara) kerajaan bersetuju
membiayai pembangunan taman-taman awam peringkat bandar
dan wilayah untuk kesejahteraan rakyat. Kerajaan percaya
dengan adanya kemudahan taman awam, rekreasi yang
mencukupi akan membantu mengurangkan gejala sosial
terutama di kalangan remaja. Saya gembira kerana usaha
pembangunan Taman Awam ini telah pun dipelopori oleh
Jabatan Landskap Negara semenjak ditubuhkan pada tahun
1996.
11. Saya merasa bangga
kerana dalam masa yang singkat pembangunan bidang
landskap telah begitu maju di Malaysia. Ini terbukti
seperti yang kita dapat lihat di Putrajaya, Cyberjaya
dan KLCC. Kita tidak mahu mewujudkan kawasan hijau
dengan `concrete jungle' yang hodoh seperti yang kita
dapat lihat dikebanyakkan negara maju.
12. Tugas untuk menjadikan
Malaysia negara hijau bukan tugas kerajaan semata-mata.
Ia hendaklah dipikul secara bersama oleh pihak swasta,
misalnya pemaju, pekilang, dan sektor korporat atau
orang perseorangan dengan menaja mengindahkan
kawasan-kawasan tertentu di bandar atau kota. Suasana
kehijauan ini akan menjadi sebahagian hidup masyarakat
negara ini. Saya perlu sebutkan juga di sini mengenai
kesukaan pihak tertentu menghias dalam bangunan atau di
kawasan luar bangunan dengan bunga plastik. Walaupun
dilihat cantik tetapi ia tidak menyumbangkan kepada
kualiti alam sekitar.
13. Sesungguhnya sambutan
Hari Landskap Negara telah berjaya sedikit sebanyak
mengubah persepsi masyarakat tentang pentingnya landskap
dalam kehidupan harian. Malahan cara sambutan Hari
Landskap Negara di Malaysia telah diiktiraf di peringkat
antarabangsa apabila IFLA (International Federation of
Landscape Architects) yang beribu pejabat di Peranchis
telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Hari Landskap
Sedunia atau World Landscape Day mengikut model
Malaysia. Ini bermakna kita boleh berjaya dalam apa jua
bidang jika kita mempunyai komitmen, kesungguhan dan
bersemangat Malaysia Boleh.
14. Saya percaya dengan
keperihatinan yang ada pada setiap rakyat, Malaysia
boleh mencapai matlamat menjadi sebuah Negara Taman yang
indah, selesa, selamat dan progresif menjelang tahun
2020. Selaras dengan tema Hari Landskap Negara kali ini
iaitu `Negara Indah Rakyat Sejahtera', saya menyeru
semua pihak berganding bahu dan berusaha dengan penuh
tekad untuk menjadi Malaysia Negara taman yang indah,
bersih dan selamat.
15. Dengan lafaz
Bismillahirrahmannirahim saya dengan sukacitanya
merasmikan sambutan Hari Landskap Negara 2003.
Terima kasih.
|