topiari2

RAHSIATAMAN
                                                                                                                                                                                                                                                                        Selamat Datang Ke Laman Web Rahsia Taman................ Laman Sejarah.............Teks ucapan 2007.............                                                                                                                                            

 CARIAN

LOGIN

PASWORD

ANJUNG

PENGENALAN

PRODUK

BLOG

TIP TERKINI

E-MAIL

HUBUNGAN

- Taman

- Guru

- Pelajar

- Peribadi

 

PERMAINAN

BERITA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rahsia Taman

TEKS UCAPAN

HARI LANDSKAP NEGARA 2007

 

PENYAMPAI
:
MENTERI KATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
03-Mar-2007 HARI : Sabtu
MAJLIS
:
SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA
TEMPAT
:
DI DATARAN SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI BULOH
ISU
:
LANDSKAP NEGARA


TEKS UCAPAN PENUH :
 


YB. Datuk Robert Lau Hoi Chew
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

YB. Dato’ Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

YB. Dr. S. Subramaniam
Setiausaha Parlimen
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

Y.Bhg. Dato’ Ahmad Fuad bin Ismail,
Ketua Setiausaha
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y.Bhg. Dato’ Haji Ismail Bin Ngah,
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara.

Dato’-Dato, tuan-tuan dan puan–puan sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Landskap Negara diatas penganjuran sambutan Hari Landskap Negara 2007. Tahun ini merupakan kali yang ke-10 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyambut Hari Landskap Negara sejak kerajaan mengambil keputusan pada tahun 1998 untuk mengisytiharkan tarikh 3 Mac setiap tahun sebagai tarikh sambutan Hari Landskap peringkat kebangsaan untuk menyedarkan dan menyuburkan lagi rasa tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara khazanah alam yang kita warisi.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan terima kasih bagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di atas kesudian Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Daerah Gombak khususnya dan kerajaan Negeri Selangor amnya kerana sudi menerima kunjungan dan seterusnya menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Landskap Negara bagi tahun ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Sambutan Hari Landskap Negara pada kali ini agak istimewa kerana sambutan kali ini diadakan di satu kawasan yang dikenali dan sinonim dengan industri landskap negara, terutamanya di kawasan Lembah Kelang iaitu kawasan Sungai Buloh. Pemilihan kawasan ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan kepada kita tentang pengertian terhadap tema Hari Landskap pada tahun ini iaitu “Landskap Satu Industri”. Ini merupakan usaha Kerajaan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para pengusaha industri landskap negara yang telah banyak memberikan komitmen dan sokongan padu kepada kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah Negara Taman Terindah Menjelang 2020.
Hadirin yang saya hormati sekalian,

Kemajuan dalam industri landskap ini melibatkan individu professional seperti arkitek landskap, malah kontraktor, pembekal bahan-bahan tanaman, input binaan landskap dan lain-lain lagi. Proses dalam industri ini bermula dengan rekabentuk oleh arkitek landskap, direalisasikan oleh kontraktor dengan mendapatkan bahan-bahan landskap kejur dan lembut daripada para pembekal dan bahan tanaman elemen landskap. Lanjutan daripada itu, kawasan yang telah dilandskapkan pula perlu diselenggara dan dijaga bagi memastikan ia kekal dan menghasilkan impak seperti yang diharapkan.

Justru itu, sambutan Hari Landskap pada tahun ini boleh dilihat sebagai satu medium perantaraan untuk mengeratkan lagi kerjasama antara Jabatan Landskap Negara dan penggiat-penggiat landskap di semua peringkat ke arah mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti dan mampan bagi semua lapisan masyarakat selaras dengan Wawasan 2020. Kerjasama ini juga dilihat sebagai satu usaha murni seiring dengan kehendak kerajaan untuk memacu industri landskap negara ke tahap yang lebih membanggakan yang seterusnya mampu untuk mempromosikan keindahan landskap Malaysia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Jika dilihat di negara-negara maju, industri landskap merupakan satu industri yang memberi impak yang besar dalam sektor ekonomi dan pembangunan negara. Mereka mempunyai pertubuhan pengusaha industri yang menjalankan aktiviti-aktiviti serta mempunyai piawaian bagi produk-produk dalam industri tersebut. Melalui piawaian ini, ia akan dapat menjamin kualiti perkhidmatan yang diberikan, menghasilkan produk yang seragam serta pulangan yang berpatutan kepada pengusaha. Ini dapat memberikan faedah kepada pengguna dan juga negara melalui pulangan ekonomi yang tinggi serta menyumbang kepada peningkatan kualiti pembangunan landskap di negara ini. Saya percaya pengusaha-pengusaha dengan sokongan daripada kerajaan melalui Jabatan Landskap Negara dan agensi-agensi lain yang berkaitan boleh meneroka ke arah tersebut bagi menjamin industri landskap yang berdaya maju dan mapan.

Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, industri landskap tempatan telah mula dibangunkan dan berkembang semenjak 50 tahun yang lalu. Namun begitu, masih terdapat pelbagai rintangan yang perlu diharungi bagi memastikan kejayaan yang lebih gemilang. Masalah-masalah seperti tidak wujudnya kawasan yang kekal dan terjamin untuk menempatkan industri ini boleh merencatkan perkembangan industri landskap tempatan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Landskap Negara menyedari akan masalah ini dan akan terus memberi sokongan dengan menyediakan program yang sesuai untuk dilaksanakan dalam RMK 9.

Untuk pengetahuan hadirin sekalian, JLN akan mewujudkan program LIVE atau Landscape Industrial Village Exposition Centre atau Pusat Pameran dan Perkampungan Industri Landskap bertujuan untuk menyediakan kawasan yang sesuai, kemudahan infrastruktur dan kegiatan promosi untuk memastikan industri landskap di negara kita terus berkembang, berdaya maju dan mampan. Buat masa ini, kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui JLN sedang mengenalpasti beberapa tempat yang dianggap sesuai untuk melaksanakan program LIVE ini.

Para Hadirin Sekalian,

Setiap kali kita merayakan sambutan Hari Landskap Negara, kita tidak lupa kepada sejarah bermulanya sambutan ini iaitu Kempen Tanam Pokok. Dalam Rancangan Malaysia ke-9, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk menanam 4 juta pokok teduhan dan 5 juta pokok bunga raya. Kita telah berjaya menanam 1.9 juta pokok jauh melebihi sasaran iaitu 800,000 pokok dalam tahun 2006 sahaja. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Jabatan Landskap Negara selaku urusetia kempen dan Yang Berhormat Dato Hjh. Azizah, Timbalan saya selaku pegerusi Jawatankuasa Kempen Tanam Pokok dan Bunga Raya Kebangsaan di atas kejayaan tersebut. Tidak ketinggalan juga tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Perhutanan Malaysia kerana telah menanam sebahagian besar daripada pokok-pokok tersebut dan seterusnya kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya negeri Johor, Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Saya amat berharap negeri-negeri lain akan mencontohi negeri-negeri tersebut dalam usaha ke arah itu. Kita harus bersedia untuk menyediakan pembangunan yang seimbang antara pembangunan fizikal, sosial dan kawasan yang dikekalkan sebagai kawasan semulajadi. Usaha dan pelaburan yang kita sama-sama lakukan dalam kempen ini akan menjadi sumbangan yang penuh bermakna dan akan dihargai oleh generasi kita akan datang.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya telah difahamkan bahawa penghargaan kepada pemenang pertandingan landskap bangunan atau halaman individu di tahun-tahun lepas akan diperluaskan kepada satu format kempen atau pertandingan yang menjurus kepada konsep yang lebih meluas dan melibatkan gerakan atau usaha komuniti. Saya yakin pertandingan landskap sebelum ini telah mencapai sasarannya untuk memberi kesedaran kepada individu tentang pentingnya mewujudkan persekitaran yang indah melalui landskap di kediaman dan premis masing-masing. Format baru akan dapat memberi kesinambungan terhadap usaha dahulu untuk mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih selesa, selamat, indah dan mampan.

Saya juga perhatikan bahawa usaha untuk mempromosikan pembangunan landskap sekarang juga mendapat sokongan dari pelbagai pihak. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak RTM dengan kerjasama Jabatan Landskap Negara kerana telah menerbitkan rancangan TV bertajuk “LANDSKAP”. Rancangan yang telah mula disiarkan sejak 9 Februari 2007 yang lepas mempunyai 50 episod dan ditayangkan setiap minggu selama setahun. Inisiatif yang diambil oleh Kementerian Penerangan melalui RTM ini telah memberi ruang kepada kita untuk mempromosikan pembangunan landskap yang berkualiti. Diharap program ini mampu menyuntik semangat dan meningkatkan lagi minat orang ramai terhadap bidang landskap dan saya juga ingin mengesyorkan supaya melalui program ini juga pengusaha-pengusaha industri landskap boleh mengambil kesempatan untuk mempromosikan produk-produk mereka melalui penajaan kandungan program yang dirancang. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada RTM diatas kerjasama ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kerajaan sangat prihatin dengan tahap pembangunan kawasan lapang dan kawasan hijau di dalam pembangunan fizikal negara. Kerajaan percaya pembangunan kawasan hijau yang berkualiti bukan sahaja dapat mewujudkan keseimbangan kawasan hijau dan kawasan pembangunan, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup sesebuah masyarakat. Dengan sebab itu Kerajaan telah memutuskan supaya nisbah peruntukan kawasan lapang 2 hektar untuk setiap 1000 penduduk digunapakai sebagai indikator pembangunan kawasan penempatan. Ini berbanding dengan indikator semasa sebanyak 1 hektar untuk setiap 1000 penduduk. Saya meminta supaya indikator ini dijadikan panduan bagi semua bandar utama di Malaysia.

Dalam konteks ini juga, Kerajaan telah memutuskan supaya satu taman rekreasi awam berskala besar seperti Hyde Park di London diwujudkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menampung keperluan rekreasi dan sebagai mercu tanda pembangunan taman awam bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur. Sehubungan dengan itu, Kementerian saya dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan telah pun menjalankan kajian untuk mengenalpasti kawasan seluas lebih kurang 400 ekar di Wilayah Persekutuan untuk dibangunkan sebagai taman awam berskala besar. Hasil kajian ini akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet nanti untuk keputusan selanjutnya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menyeru agar semua pihak yang terlibat supaya lebih gigih dan giat berusaha untuk memajukan industri landskap dengan mempelbagai dan meningkatkan pengeluaran elemen-elemen landskap kejur serta memperkenalkan spesis-spesis tropika tempatan ke dalam landskap Malaysia. Oleh yang demikian, pengusaha industri landskap harus bersikap proaktif memperkenalkan produk dan lebih kreatif dalam menyusun atur premis industri atau nurseri mereka. Syabas diucapkan kepada para pemenang pertandingan nurseri yang dianjurkan bersempena Hari Landskap Negara pada tahun ini. Semoga industri landskap negara akan terus berkembang.

Dengan kata-kata itu, saya dengan ini merasmikan Hari Landskap Negara 2007 pada pagi ini.

Sekian, terima Kasih.
 
      2008 Hak Cipta terpelihara rahsiataman.com         Paparan terbaik dlm Internet explorer   (640x480)       Kemaskini          04/09/2008 11:47:56 PM