Seni bina Islam utamakan ciri simbolik sungai di syurga
Berita Harian, 10 november 2006
 

 
TAHUKAH anda teknologi dan seni bina Taj Mahal tidak tercipta begitu saja, malah ia adalah hasil pencapaian seni yang tinggi daripada beberapa monumen Mughal terdahulu seperti makam Itimadud-daula di Agra, India.
 

 

Jika ingin melihat keindahan seni bina Mughal, anda perlu menyusuri bahagian timur Sungai Yamuna, Agra di mana terdapat taman, istana, kota dan makam.

Meninjau sejarah seni bina Islam, air menjadi ciri utama seni landskap dan seni bina yang menjadi simbolik pada sungai di syurga yang dijanjikan kepada orang beriman seperti dinyatakan dalam al-Quran.

Tidak hairanlah jika kebanyakan monumen taman Mughal memanfaatkan air dan cuaca untuk kesan estetika selain air dihargai pemerintah Mughal dalam pelbagai aspek termasuk agama dan simbolisme syurga.

Seni bina Mughal menjadi fokus siri Ilmuwan Islam terbitan TV3 kali ini yang membawa penonton mengembara dari Delhi ke Agra dalam perjalanan sejauh 200 kilometer dan mengambil masa lima jam.

Taj Mahal di Agra diiktiraf Unesco sebagai warisan dunia tetapi kota Agra menghadapi ancaman pencemaran alam.

Sebagai usaha mengelak pencemaran, hanya kenderaan mesra alam seperti kereta berkuasa elektrik dibenarkan untuk mengangkut pelancong sekitar Taj Mahal yang memukau pandangan.

Pengukir kraf tangan Mughal mendapat ilham daripada alam, menggunakan motif bunga, mengelak imej manusia dan haiwan kerana ia bertentangan ajaran Islam.

Seni pietra dura menterjemah bentuk semula jadi kepada corak dekoratif yang melengkapi seni bina Mughal. Di Agra teknik itu dikenali sebagai pachikari.

Ada dakwaan mengatakan Shah Jahan, pembina Taj Mahal, mengarahkan supaya jari pekerja kraf tangan Mughal dipotong supaya mereka tidak berupaya lagi mencipta pachikari atau pietra dura setanding yang terdapat di Taj Mahal.

Perkembangan taman Mughal bermula daripada Maharaja Babur dengan pembinaan istana taman di pinggir sungai dan mencapai kemuncak dengan taman Taj Mahal Shah Jahan.

Babur tidak selesa dengan iklim dan tanah Agra yang kontang hingga menghasilkan ciri taman Mughal di lokasi dramatik, penggunaan air yang bijak, gabungan kepakaran seni bina dan landskap.

Dalam seni landskap Mughal, taman adalah komposisi ruang yang seimbang antara tumbuhan dan bangunan, tekstur dan warna, cahaya dan bayang, semuanya di reka untuk mempermaikan deria.

Menerusi pembinaan Taj Mahal yang turut dihiasi ayat al-Quran, dapat disimpulkan kitab suci itu menjadi rujukan serta pencetus idea untuk mereka yang membina taman Moghul.

Tanpa merujuk al-Quran, pasti pembina taman itu tidak berupaya membentuk taman yang mesra alam dan menghormati keindahan alam sekitar terutama potensi sungai sebagai punca bekalan air, sekali gus mencabar kepakaran botani dan kejuruteraan hidrologi.

Al-Quran menganjur manusia memahami alam sekitar kerana adanya alam ini adalah dalil aqli kewujudan Allah.

Oleh itu, ilmuwan Islam perlu mendalami pelbagai bidang ilmu sebagai cara untuk menginsafi keagungan Allah.

Jurutera Mughal pada kurun ke-17 berjaya membentuk taman dan bangunan mesra alam yang berdiri teguh dan permai di atas konsep keindahan alam dan bukannya pencemaran serta kemusnahan.